Gading Marine Industry

GadingMarine

Gading Marine Industry dans la nouvelle

Kementerian Pertahanan meterai 43 kontrak bernilai RM10.128 bilion

mai 26, 2023

LANGKAWI: Kementerian Pertahanan memuktamadkan 43 kontrak bernilai RM10.128 billion sempena Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA ’23) bagi memastikan pertahanan dan kesiapsiagaan negara berada pada tahap optimum.

Antaranya 20 dokumen kontrak, 21 surat setuju terima (SST) dan dua surat niat yang turut melibatkan perolehan beberapa aset pertahanan baharu.

Malah, kementerian juga dalam perancangan memperoleh lebih banyak aset pertahanan di bawah Rancangan Malaysia seterusnya untuk memperkukuh lagi Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, lebih banyak kontrak sepatutnya ditandatangani, namun Kementerian Pertahanan sedang membuat penilaian khusus sebelum keputusan muktamad dibuat.

“Saya berharap kesemua aset yang kita bersetuju untuk peroleh ini dapat diterima dalam keadaan yang baik dan mengikut jangka masa ditetapkan.

“Tentera Darat Malaysia (TDM) umpamanya akan menerima empat buah Helikopter Sikorsky UH-60A+ Black Hawk yang berfungsi sebagai platform kepada Tim Nukleus bagi tujuan latihan dan tugasan penerbangan operasi melalui sewaan daripada Aerotree Defence & Services Sdn. Bhd.,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyaksikan majlis menandatangani dokumen kontrak, SST, surat niat dan Memorandum Persefahaman (MoU) di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), Padang Matsirat di sini.

Majlis turut disaksikan Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang selain Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd. Aziz yang mewakili kerajaan Malaysia bagi menandatangani perjanjian.

Tambah Mohamad, perolehan yang sedang berlangsung bagi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pula adalah melibatkan 18 unit FA-50 Fighter-Lead-In-Trainer/Light Combat Aircraft (FLIT-LCA).

Pesawat yang akan diperoleh daripada Korea Aerospace Industries, Ltd. (KAI) itu melibatkan kontrak mencecah RM3.84 bilion.

Selain itu, TUDM juga akan memperoleh tiga unit Unmanned Aerial System (UAS) and Associated Support Category Medium Altitude Long Endurance (MALE) Fasa 1 daripada Turkish Aerospace Industries melibatkan kontrak berharga RM423.8 juta.

Malah, dua unit Maritime Patrol Aircraft (MPA) Fasa 1 dan Associated Equipments daripada Leonardo S.P.A. bernilai RM789.6 juta turut akan diterima TUDM.

Sementara itu, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan memperoleh kapal pemintas atau Fast Interceptor Craft (FIC) daripada Gading Marine Industry (M) Sdn. Bhd. yang bernilai RM99 juta.

Dalam pada itu, Mohamad turut menyaksikan lapan MoU yang ditandatangani antaranya bersama Destini Berhad; Nadicorp Holding Sdn. Bhd.; Technology Depository Agency Berhad; Naval Group And Ecole Centale De Nantes France; Havelsan; Netherlands Maritime University College dan Rezki Marine. – UTUSAN

Sumber : https://www.utusan.com.my/nasional/2023/05/kementerian-pertahanan-meterai-43-kontrak-bernilai-rm10-128-bilion/