Markas Wilayah Laut 2 (MAWILLA 2) telah menerima Empat Bot Pemintas Laju (Fast Interceptor Craft (FIC)) G2000 MkII petang semalam.
Penyerahan rasmi yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Utama MAWILLA 2 telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Pembangunan, YBhg Dato’ Mohd Shaiful bin Ibrahim dengan menyaksikan upacara menandatangani dokumen serah terima di antara wakil Syarikat Gading Marine dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
FIC G2000 MkII ini dilengkapi dengan sistem persenjataan automatik, iaitu Remote Control Weapon Station (RCWS) dan senjata berkaliber 12.7mm Heavy Machine Gun (HMG). Sistem ini membolehkan pengoperasian senjata jarak sederhana dengan ketepatan yang tinggi sekaligus meningkatkan keupayaan tempur serta keselamatan kru semasa operasi di lautan.
Selain itu, bot ini mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 50 knot, menjadikannya sesuai untuk tugasan pintasan di kawasan perairan yang strategik. Keupayaan kelajuan tinggi ini diyakini dapat meningkatkan tindak balas dalam menangani ancaman di laut, khususnya di Wilayah Timur Sabah yang sering terdedah kepada risiko pencerobohan dan kegiatan jenayah rentas sempadan.
FIC G2000 MkII ini merupakan sebahagian daripada 13 buah bot baharu yang diperolehi TLDM secara berperingkat melalui tiga fasa. Sebelum ini bagi Fasa Pertama, dua buah bot telah diserahkan secara rasmi kepada MAWILLA 2 pada Februari 2024, menjadikan jumlah keseluruhan bot pemintas laju jenis ini dibawah kendalian MAWILLA 2 kini sebanyak enam buah.
Kewujudan FIC G2000 MkII dapat meningkatkan keupayaan TLDM bagi mendepani pelbagai cabaran di lautan, disamping memperkukuh kesiapsiagaan dalam memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara.
Hantaran asal: https://bit.ly/3ID0VFL